“Modal Tidak Seberapa, Mereka Mampu Bangkit” Dulu Asyik Terima Bantuan Dan Keluarga Ini Ambil Masa 2 Tahun Untuk Tidak Menjadi Miskiin

KELUARGA ini pernah beberapa kali mendapat bantuan kerana kesempitan hidup mereka ditambah pula dengan kehadiran tiga anak istimewa.

Bukan calang-calang dugaan apabila mempunyai ‘anak syurga’ ini yang mana bukan sahaja menuntut tumpuan 100 peratus, malah kos penjagaannya juga terlalu tinggi termasuk rawatan, ubat-ubatan, susu khas, lampin pakai buang dan macam-macam lagi.

Beban makin dirasakan begitu berat apabila si ibu mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada keluarga dan berpindah ke rumah kampung yang lebih murah kadar sewaannya.

“Berkat sedekah Jumaat kita pada 20 September 2019, kita telah menyumbang bahan binaan untuk menyiapkan rumah kecil mereka yang terbengkalai demi meringankan mereka supaya tidak perlu menyewa lagi.

“Kita juga tampil menyumbang sejumlah wang tunai untuk urusan pengkebumian salah seorang wildan syurga mereka yang meninggal dunia pada Februari 2020,” demikian perkongsian aktivis masyarakat, Natipah Abu pada laman Facebooknya.

Natipah bersama tiga anak istimewa milik pasangan suami isteri berkenaan.

Namun itu kisah lama. Kini keluarga yang pernah menerima bantuan hasil sumbangan orang ramai itu sudah mula bangkit sedikit demi sedikit untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Menurut Natipah yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam lapangan kebajikan dan kemanusiaan, kisah ‘kebangkitan’ keluarga dari Sungai Petani, Kedah, ini bermula ketika dia berkunjung untuk memantau proses pembinaan rumah kecil mereka.

“Ketika Kak Pah melawat ke rumah mereka entah untuk yang ke berapa kalinya semasa di dalam proses pembinaan, Kak Pah dapati mereka memelihara tiga ekor kambing dalam reban ayam.

Pasangan suami isteri ini menternak kambing sebagai mata pencarian.

“Di situlah Kak Pah nampak kesungguhan mereka berusaha untuk menambah pendapatan. Lalu sekali lagi kita menghulurkan sumbangan sebagai modal untuk mereka meneruskan minat dan usaha mereka di dalam bidang penternakan kambing.

“Berbekalkan modal yang tak seberapa itulah pasangan ini terus bangkit dan bangkit mengejar kejayaan,” cerita aktivis berusia 50 tahun ini.

Dari reban ayam, kambing-kambing peliharaan pasangan suami isteri itu dipindahkan ke bangsal yang lebih selesa dan ditambah keluasannya sedikit demi sedikit.

Berbekalkan modal yang tak seberapa itulah pasangan ini terus bangkit dan bangkit mengejar kejayaan.
NATIPAH ABU
AKTIVIS KEMASYARAKATAN

Bukan itu sahaja, pasangan tersebut kini mampu membeli sebuah lori kecil untuk digunakan sebagai pengangkutan ternakan mereka.

“Setakat ini mereka mampu menjual sekitar 20 ekor kambing sebulan. Kambing dibeli dengan harga borong dan dipelihara sehingga beberapa ketika sebelum dijual mengikut permintaan pelanggan.

Natipah sudah lebih 10 tahun aktif dalam lapangan kebajikan dan kemasyarakatan.

“Walaupun masih di peringkat awal iaitu baru dua tahun tetapi hasilnya kini pasangan ini sudah tidak lagi di dalam kesempitan.

“Kata mereka, ‘kami ni antara insan yang Kak Pah tolong. Dari bela kambing, biri-biri baka kampung, la (sekarang) ni kami dah upgrade bela baka yang lebih mahal’.

“Bila mesej ni tiba-tiba masuk tadi, hati Kak Pah rasa sungguh terharu. Betapa tidak, dari insan yang tidak punya apa-apa, hari ini dia sudah mampu pergi sejauh ini.

“Kak Pah terpanggil untuk kongsikan kisah kejayaan sepasang suami isteri yang pernah kita bantu pada saat mereka jatuh tersepuk tatkala diuji Allah satu masa lalu. Inilah kisah apabila pancing dan umpan sudah di tangan,” katanya lagi.

Sumber : Mstar Online