Kisah Harut Dan Marut Dalam Surah Al-Baqarah

Selamat datang ke laman Lakar Media. Lakar Media akan berkongsi pelbagai kisah tauladan, motivasi, islamik serta berkaitan teknologi yang mana akan memberi pengetahuan serta kesan mendalam buat para pembaca. Diharapkan semoga perkongsian ini dapat memberi sedikit sebanyak ilmu pengetahuan buat anda.

Pernah dengar kisah Harut dan Marut yang mengajarkan sihir pada zaman Nabi Sulaiman? Jika anda masih ingat juga, kisah Nabi Sulaiman sangat sinonim dengan mukjizatnya (kelebihan) untuk bercakap dengan jin dan binatang serta mengetahui mengenai sihir.

Diceritakan bahawa Harut dan Marut merupakan dua malaikat yang dihantar oleh Allah untuk menguji hambaNya pada zaman Nabi Sulaiman dengan ajaran sihir.

Walau bagaimanapun, menurut pendapat jumhur ulama, tugas mereka bukanlah untuk mengajarkan sihir walaupun mereka tahu dan mempunyai ilmu sihir, namun disebabkan kedegilan manusia pada waktu itu yang melihat sihir sebagai sebuah kuasa besar, akhirnya ramai yang sesat dan menggunakannya ke arah yang terpesong.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa mereka ialah manusia yang datang mengembara ke Negeri Babylon bagi mengajarkan sihir.

Walau bagaiamanapun, pendapat ini ditolak kerana sebahagian jumhur ulama mengatakan bahawa mereka ialah malaikat yang diutuskan Allah.

Hal ini ada dijelaskan di dalam Al-Quran berkenaan siapa Harut dan Marut.

“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman,

padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat:

Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).”(Surah Al-Baqarah, 2:102)

Terdapat banyak kisah yang diceritakan mengenai Harut dan Marut seperti sihir yang diajarkan mereka adalah semuanya sihir perosak dan mereka sukarela menurunkan ilmu tersebut kepada orang.

Walau bagaimanapun, kisah-kisah tersebut adalah penceritaan Israiliyyat kerana tiada hadis yang sahih berkenaan ini mahupun dari kalam Allah.

Ilmu sihir yang diajarkan merupakan ilmu yang tidak terpesong. Sebaliknya mereka yang mengamalkannya telah mencampur-adukkan dengan perkara yang batil. Disebabkan itu, sihir tersebut menjadi sihir yang boleh memporak-perandakan rumah tangga dan hubungan suami isteri.

Tidak banyak penceritaan berkenaan mereka yang dibahaskan oleh jumhur ulama, namun dapat kita simpulkan bahawa mereka ialah malaikat yang mempunyai ilmu sihir dan diutuskan oleh Allah sebagai ujian kepada manusia.

Wallahu a’alam.