Ini Rahsia Dua Hafiz Muda Yang Berjaya Hafal 30 Juzuk Al-Quran

Untuk bergelar hafiz muda, banyak pengorbanan harus dilakukan, ini kata Khaer Farish (kiri) dan Bilal (kanan).

MENGHAFAL al-Quran merupakan satu impian paling mulia. Al-Quran mengandungi pelbagai cabang ilmu duniawi dan ukhrawi. Ia juga adalah kitab yang mengandungi perintah dan panduan Ilahi kepada manusia sekalian alam.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran, baginya satu kebaikan. Satu kebaikan akan digandakan sepuluh. Aku tidak mengatakan ‘alif lam mim’ itu satu huruf, akan tetapi, alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Namun, untuk bergelar seorang hafiz, jiwa raga perlu cekal dan ikhlas. Tiada keluhan, tiada rungutan. Menjelajahi rutin harian dua hafiz muda, sememangnya memberi rumusan yang bukan calang-calang. Mereka mengakui, perlu menghindarkan diri dari dunia yang penuh lara.

Tiada televisyen dan tiada telefon bimbit. Tiada juga makanan yang ‘karut-marut’. Celik mata pada saat orang lain sedang dibuai mimpi dan paling signifikan bagaimana mencatur disiplin diri.

Perkongsian bermakna hafiz-hafiz ini melalui satu wawancara khas bersama Sinar Islam diharap dapat membuka minda masyarakat terhadap peri pentingnya kehadiran kumpulan hafiz sebagai benteng pertahanan paling ampuh dalam Islam.

Hidup tidak lengkap tanpa al-Quran

APABILA melihat kanak-kanak mengalunkan ayat al-Quran, pasti hati kita akan tersentuh. Emosi kita akan berlebihan tatkala anak-anak kecil sudah mampu menghafal ayat-ayat suci. Hebat bukan, sejak kecil sudah bergelar hafiz.

Pada akhir zaman ini, ibu bapa sangat dianjurkan untuk menyuntik kesedaran dan minat anak mereka terhadap kitab suci ini. Ketahuilah, al-Quran adalah penyembuh, sahabat karib dan panduan paling afdal untuk kita mengharungi kehidupan di alam fana ini.

“Saya memang akan ulang dan ulang (hafalan), takut tak ingat. Ustaz saya pernah pesan, kalau kita tinggalkan al-Quran sehari, al-Quran akan tinggalkan kita selama 10 hari. Kalau kita tinggalkan al-Quran 10 hari, al-Quran akan tinggalkan kita 100 hari.

KECINTAAN mendekatkan diri dan membaca al-Quran harus dipupuk sejak dari kecil lagi.

Benarkah pelajar hafiz tidak boleh menonton televisyen? Jawab Khaer Farish berterus-terang: “Memang tak boleh tengok televisyen dan telefon pintar. Mak saya cukup jaga hal ini.

Saya hanya boleh menonton setiap hari Isnin hingga Sabtu iaitu selepas pulang dari akademi pukul 6.30 petang hingga 8.30 malam. Selepas itu, saya perlu mengaji.”

“Sebenarnya, sebelum ini saya pernah menghafal juz amma (juzuk ke-30 dalam al-Quran) ketika bersekolah di Sekolah Rendah Agama Integrasi Shah Alam sebelum ini.

Bila masuk sekolah tahfiz, saya rasa sangat teruja hendak menghafal 30 juzuk al-Quran dalam masa setahun,” jelasnya yang memasuki sekolah tahfiz sepenuh masa dan berulang-alik dari rumah ke akademi setiap hari.

Rutin padat Bilal

Rutin yang direntas Khaer Farish turut sama dengan apa yang dilalui Syed Muhammad Bilal Syed Helmy atau Bilal. Bilal merupakan pelajar tingkatan lima Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Shah Alam. Beliau mula bersekolah di situ sejak empat tahun lalu.

Bezanya, Bilal merupakan pelajar tahfiz akademik. Selain belajar tahfiz, Bilal juga perlu menyeimbangkan pengajiannya dengan subjek akademik yang lain seperti Matematik, Sains, Sejarah dan sebagainya.

Ujar Bilal, 18, cabaran paling besar dalam menghafaz al-Quran adalah mengulang hafalan selepas habis 30 juzuk al-Quran. “Bagi seorang hafiz, ia 1,000 kali lebih susah daripada hafalan yang baharu. Sebab dalam tempoh waktu menghafaz 30 juzuk itu, ada ustaz dan ustazah yang beri bimbingan.

“Bila sudah habis 30 juzuk, saya terpaksa mengulang sendiri. Walaupun masih ada juga bimbingan dari ustaz dan ustazah tetapi mereka akan lebih memfokuskan kepada pelajar yang belum habis hafal,” katanya yang tamat menghafal 30 juzuk al-Quran pada 26 Januari 2018.

Sepanjang dalam tempoh hafalan, Bilal akan bangun seawal pukul 4 pagi.

Anak muda ini terlebih dulu akan mengemas bilik dan bersiap sedia untuk melakukan qiamullail pada pukul 5 pagi.

“Bagi saya, antara pukul 4 pagi hingga 5 pagi, ia adalah waktu mutiara bagi saya kerana tempoh yang paling mudah hendak hafal ayat-ayat baharu. Kelas untuk tasmik akan bermula jam 7 hingga 8.30 pagi, kemudian ulang balik bacaan dari pukul 9.30 hingga 10.30 pagi.

“Selepas itu, kira-kira pukul 11 pagi, saya akan belajar akademik hingga pukul 2 petang. Petang pula ada aktiviti kokurikulum yang berbeza setiap hari,” jelasnya yang akan menyambung hafalan ayat baharu pada pukul 8 malam.

Jaga pemakanan

Ujar Bilal, antara perkara paling penting dalam hafalan al-Quran ialah pemakanan. “Antara yang wajib dimakan setiap hari adalah minum madu dan makan vitamin C sebelum tidur.

Selain itu, Pak Haji (Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Mohammad Bokhari Shariff) juga ada sediakan kismis dan kurma untuk kami makan.

“Apa yang menjadi pantang larang bagi kami ialah makanan segera, makanan proses seperti burger, organ dalaman dan asam jeruk. Untuk makanan yang lain, kami juga seperti orang lain, makan lauk seperti kebanyakan orang,” ujarnya.

Pada saat remaja seusianya leka dan obses dengan telefon pintar, pendekatan itu dihindari oleh Bilal. Ya, beliau tiada langsung telefon bimbit! “Memang saya pernah minta daripada mak dan ayah tetapi mak tak bagi sebab hendak menjaga hafalan al-Quran saya.

Mak takut saya lalai. Tengok televisyen pun ada masa tertentu. Dalam sehari, dari pukul 10 pagi hingga sebelum waktu Zuhur saja saya boleh tonton. Tapi selalunya saya tak menonton sebab bosan,” jelasnya.

Walaupun cuti sekolah, namun aktiviti mengulang bacaan al-Quran dan mengulang kaji pelajaran perlu diteruskan Bilal. Pihak sekolahnya menyediakan sistem Borang Cuti Sekolah yang memerlukan segala aktiviti dilakukan di rumah dicatat dan ditandatangani ibu bapa.

“Mak biasanya akan tanya dulu aktiviti saya buat sebelum turunkan tanda tangan setiap hari. Saya sendiri pun rasa hidup saya tidak lengkap jika tak baca al-Quran sehari.

“Pernah saya tertidur dan tidak mengulang bacaan, saya rasa macam nak marah orang dan hati gundah gulana. Sebab itu saya perlu baca al-Quran setiap hari,” katanya.

BIARPUN jadual pelajar tahfiz di sekolah agak ketat dengan rutin harian masing-masing, namun kehidupan mereka sebenarnya masih lagi sama seperti orang lain.

Pendakwah, Ustaz Mohd Fakhrurrazi Hussin atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Fakhrul berkata, tanggungjawab mereka lebih besar lagi kerana perlu menjaga dan memelihara al-Quran.

“Mereka tidak boleh buat apa yang tidak dibolehkan oleh syariat dan orang yang hafal al-Quran ini perlu lebih warak serta menjauhi perkara-perkara syubhah (halal dan haramnya tidak jelas),” katanya kepada Sinar Islam.

Sumber:gpsbestari