Bolehkah Membaca Surah Lain Selepas Al-Fatihah Dalam Rakaat Ketiga Dan Keempat

Selalunya, apabila kita menunaikan solat berjemaah, kita akan mendengar imam membaca surah tambahan selepas bacaan Al-Fatihah daripada rakaat pertama dan kedua solat.

Namun, apabila masuknya rakaat ketiga atau keempat, imam tidak membaca mana-mana surah tambahan selepas Al-Fatihah.

Hal ini bukan sahaja berlaku semasa menunaikan solat secara berjemaah, namun juga ketika sendiri. Kebiasaannya, kita akan menambah surah lain selepas Al-Fatihah hanya pada raakat pertama dan kedua sahaja.

Namun, apabila rakat ketiga atau keempat, kita tidak akan membaca mana-mana surah tambahan.

Jadi, adakah dibenarkan untuk membaca surah lain selepas rakaat kedua atau adakah perbuatan ini dilarang?

Di sini, ulama berbeza pendapat, iaitu:

#1 – Tidak Disunatkan Selepas Rakaat Kedua
Ulama dari kalangan mazhab Syafi’e menyebut bahawa hukumnya adalah tidak disunatkan untuk dibaca pada rakaat ketiga dan keempat.

Hal ini adalah berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA:

Maksud: “Bahawa sesungguhnya Nabi SAW sentiasa membaca pada dua rakaat yang awal bagi solat Zuhur dan Asar dengan surah Fatihah dan surah tambahan. Dan kadang, Baginda akan menguatkan bacaan sehingga kami mampu mendengar satu ayat. Lalu, Baginda juga membaca pada dua rakaat akhir surah Al-Fatihah.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 778)

#2 – Sunat Membaca Surah Tambahan Pada Rakaat Ketiga Dan Empat
Sebahagian ulama berpegang bahawa sunat untuk membaca surah tambahan selepas Al-Fatihah pada rakaat ketiga dan keempat

Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Saied Al-Khudri RA:

Maksud: “Bahawa Rasulullah membaca surah pada dua rakaat awal solat Zuhur dengan kadar bacaan 30 ayat dan dalam rakaat dua akhir, Baginda membaca kadar 15 ayat. Manakala solat Asar, Baginda membaca pada dua rakaat awal dengan kadar 15 ayat dan pada dua rakaat terakhir dengan kadar separuh dari yang pertama.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 11802)

Kesimpulan
Ulama dari kalangan Syafi’e menyebut bahawa tidak disunatkan untuk membaca surah lain pada rakaat ketiga dan keempat berdasarkan dalil yang dibawa.

Namun, tidak menjadi masalah untuk membacanya. Ia tidak membawa kepada larangan yang boleh membatalkan solat.

Wallahu a’alam.
Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan via tzkrh.com